Saturday, February 28, 2009

Perkara-Perkara Yang Perlu Difikirkan Sebelum Menyertai Pelan Takaful

1. Tentukan jenis risiko yang anda perlu lindungi
Jenis takaful yang anda perlu merujuk kepada apakah bentuk musibah atau risiko yang anda perlu lindungi. Jika anda adalah seorang ketua keluarga, anda perlu melindungi risiko kematian pra-matang, risiko hilang upaya kekal keseluruhan (TPD), risiko kemalangan dan risiko penyakit kritikal. Anda juga perlu menambah perlindungan yang membiayai rawatan hospital, khususnya bagi anda yang bekerja sendiri atau bagi anda yang tidak diberi kemudahan rawatan perubatan oleh majikan.

Jika anda tidak mempunyai tanggungan, anda perlu melindungi risiko hilang upaya kekal keseluruhan (TPD), risiko kemalangan, risiko penyakit kritikal dan menambah perlindungan yang membiayai rawatan hospital.

2. Tentukan jumlah perlindungan yang mencukupi bagi setiap risiko
Bagi setiap individu, jumlah perlindungan yang diperlukan adalah berbeza. Sebagai contoh, bagi melindungi risiko kematian pra-matang, untuk anda yang mempunyai tanggungan dan sejumlah hutang, anda perlu mengambil jumlah perlindungan yang dapat membiayai kos sara hidup bulanan purata keluarga anda sekurang-kurangnya selama satu tahun dan dapat melangsaikan kesemua hutang-hutang anda. Ini adalah untuk mengelakkan kualiti kehidupan keluarga anda berubah secara drastik dan memberikan masa yang mencukupi bagi balu anda dan keluarga untuk menyesuaikan diri dengan realiti kehidupan baru.

Bagi melindungi risiko penyakit-penyakit kritikal, anda perlu mengambil jumlah perlindungan yang lebih tinggi sekiranya keluarga anda mempunyai sejarah penyakit-penyakit tertentu seperti kanser, kencing manis atau darah tinggi.

3. Utamakan jumlah perlindungan yang mencukupi berbanding komitmen anda
Anda membeli sesuatu produk adalah untuk mendapatkan kegunaan dan fungsi maksima daripada produk tersebut, betul? Jadi prinsip yang sama perlu diaplikasikan dalam penyertaan pelan takaful. Cara yang betul; tentukan jenis risiko yang perlu dilindungi --> tentukan jumlah perlindungan yang mencukupi bagi setiap jenis risiko --> beri komitmen kewangan yang diperlukan.

Jika anda tetapkan jumlah komitmen bulanan anda, anda mungkin dapat mengawal perbelanjaan anda, tetapi pelan takaful anda tidak dapat memberikan 'khidmat terbaik' kepada anda apabila tiba waktunya. Pilih cara yang betul.


4. Pilih syarikat takaful yang cekap dan memberikan khidmat terbaik
Sebuah syarikat takaful yang cekap adalah amat mustahak, pertamanya dari segi IT kerana segala data dan maklumat pelanggan diurus dengan baik dan selamat serta sentiasa dikemaskini. Keduanya, ia perlu mempunyai tahap perkhidmatan pelanggan yang mantap, khususnya kepantasan menguruskan tuntutan dan kemudahan untuk dihubungi. Pendekatan syarikat adalah semestinya untuk berusaha membantu pelanggan pada waktu memerlukan, bukan mencari pelbagai alasan untuk tidak membayar tuntutan hanya kerana untuk membuat untung.

5. Pilih penasihat takaful yang amanah, berpengetahuan dan berdedikasi
Penasihat takaful yang amanah, berpengetahuan dan berdedikasi amatlah mustahak kerana beliau menjadi pengantara antara anda dan pihak syarikat pengendali takaful. Penasihat anda sepatutnya mampu mencadangkan produk yang terbaik berdasarkan situasi dan keperluan anda. Selain itu, beliau perlu memastikan bahawa polisi anda sentiasa efektif (tidak luput), maklumat anda sentiasa dikemaskini dan sebarang tuntutan diselesaikan dalam tempoh yang munasabah. Beliau juga perlu mudah dihubungi pada setiap masa.

Semoga panduan serba ringkas ini dapat membantu anda. Terima kasih ;)

No comments:

Post a Comment