Friday, February 27, 2009

Takaful dan Anda

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Anda mungkin berpendapat hidup anda sama saja dengan orang lain, ada perlindungan takaful/insurans atau tidak, tidak menjadi kerisauan kepada anda. Jika anda seorang yang kaya-raya seperti Bill Gate atau Donald Trump atau tergolong dalam 10 individu terkaya di Malaysia , mungkin anda berhak berfikiran demikian. Namun, jika anda tidak sedemikian, mungkin anda ingin fikirkan perkara-perkara berikut:

1- Kematian adalah suatu hakikat, dan ia boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jika anda sebagai ketua keluarga tiba-tiba meninggal dunia, adakah anda fikir anda telah meninggalkan harta yang mencukupi untuk isteri dan anak-anak anda terus mengekalkan cara hidup semasa? Bagaimana jika dengan ketiadaan anda, mereka tiba-tiba terus jatuh miskin dan hidup serba kekurangan? Bayangkan isteri terpaksa bekerja lebih masa dan anak-anak mungkin ada yang terpaksa berhenti sekolah? Bagaimana pula dengan ibu-bapa yang anda tanggung di kampung? Adakah anda rela membiarkan perkara ini berlaku kepada anda dan keluarga anda yang anda cintai?

2- Pelbagai penyakit kritikal menyerang pada usia yang lebih muda atau pertengahan dan kos rawatan yang meningkat kira-kira 14% setahun di Malaysia. Apakah anda fikir, jika anda tanpa disedari didiagnos menghidap penyakit kritikal seperti kanser, strok atau kegagalan buah pinggang. Adakah anda mempunyai wang simpanan yang banyak untuk membiayai kos perubatan anda? Tanpa perlindungan takaful, anda mungkin terpaksa menjual harta-benda seperti tanah dan rumah, atau anda terpaksa mengeluarkan wang simpanan/pelaburan yang sepatutnya digunakan untuk hari persaraan anda? Bagaimana jika anda tiada harta atau simpanan yang banyak, sanggupkah anda merayu kepada orang ramai? Atau sanggupkah anda menanti giliran yang panjang di hospital-hospital kerajaan?

Contoh masalah di atas sebenarnya dapat ditangani dengan menyertai pelan perlindungan takaful. Dengan pelan takaful, anda dapat menyediakan wang perlindungan musibah secara serta-merta. Malah, takaful dapat membantu anda menguruskan beberapa risiko musibah yang lain spt. hilang upaya keseluruhan dan kekal dengan penuh persediaan dan ketenangan fikiran. Bayangkan dengan penyertaan RM200 sebulan anda mampu mendapat perlindungan komprehensif dengan jumlah pelindungan melebihi RM150,000. Bukan itu saja, jumlah caruman tahunan anda ini malah berhak mendapat pelepasan cukai kerajaan sehingga RM9,000 setahun.

Skim perlindungan takaful adalah berasaskan konsep tolong-menolong dan saling jamin-menjamin sesama peserta, bertepatan dengan firman Allah dalam al-Quran:

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam membuat dosa dan permusuhan"
(Surah al-Maidah:2)


Skim perlindungan takaful juga digerakkan berdasarkan nas-nas berikut:
"Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang menjadi penjaganya, jika ditakdirkan mereka meninggalkan anak-anak yang lemah, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka"
(Surah an-Nisa':9)

Nabi Muhammad s.a.w:

"Sesungguhnya lebih baik engkau meninggalkan waris-warismu orang yang kaya daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta"
(Riwayat Bukhari)

Nas al-Quran dan Hadis di atas telah menekankan kepentingan merancang dan menguruskan musibah dengan baik. Hendaklah seseorang penjaga menjaga kemaslahatan ahli keluarganya semasa hidupnya dan juga selepas ketiadaannya. Maka, seharusnyalah kita memastikan kita mempunyai pelan perlindungan yang bersesuaian menurut keperluan dan kemampuan masing-masing.

Faedah-faedah menyertai Takaful secara ringkas.

1. Pertamanya kita telah menyahut seruan al-Quran dan Hadis.

2. Keduanya kita telah meletakkan diri kita dan keluarga dalam keadaan bersedia. Jika berlaku apa-apa musibah, kita akan dapat menghadapinya dengan keadaan yang lebih baik.

3. Ketiganya, kita telah menepati kehendak Allah dalam soal bantu-membantu dan jamin-menjamin sesama peserta jika musibah melanda.

4. Keempat, kita berpeluang membuat amal jariah secara konsisten dengan menyumbang ke dalam akaun tabarru' (derma bersyarat).

5. Kelimanya, kita dapat membantu mengukuhkan ekonomi dan sosial umat Islam. Bayaran zakat oleh syarikat takaful, sebagai contoh, dapat digunakan untuk kemaslahatan umat Islam di Malaysia atau di negara-negara umat Islam lain yang memerlukan.

6. Keenam, produk takaful bebas dari riba', judi dan gharar yang terdapat pada insurans konvensional.

7. Ketujuh, anda layak mendapat pelepasan cukai sehingga RM9000 setahun. Tentunya lebih baik jika wang cukai dapat digunakan untuk kegunaan dan kemaslahatan diri sendiri dan keluarga.

Penyertaan dalam takaful sebenarnya banyak memberikan faedah kepada anda. Yang membezakan ialah sama ada faedah itu besar atau kecil. Jika berlaku musibah anda menang besar i.e. dapat faedah perlindungan. Jika tiada apa-apa musibah berlaku pula, anda sebenarnya menang kecil i.e. anda dapat semula semua atau hampir semua wang simpanan anda dengan sejumlah pulangan tertentu.

Jadi dengan sebegitu banyak kelebihannya, eloklah kita menetapkan pendirian kita dengan serius dan segera mendapatkan pelan takaful untuk diri dan keluarga kita. Sementara masa masih ada, kesihatan masih baik, gunakanlah kesempatan yang ada untuk menjamin masa depan yang terbaik.

Laluannya sudah tersedia luas.....keputusan di tangan anda..... masa depan anda, andalah yang menentukan.

Sekian!

No comments:

Post a Comment